Wednesday, August 26, 2009

TIADA ISA DALAM ISLAM !!

“Kalau sebagai pemerintah, kalau kamu sebagai hakim, jangan kamu jatuhkan sebarang hukuman kepada orang yang datang kepadamu sebelum kamu dengar keterangan daripada kedua-dua belah pihak.” - Sabda Nabi.

ISA atau Akta Keselamatan Dalam Negeri adalah satu bentuk undang-undang yang membolehkan sesaorang itu ditahan tanpa bicara. Atau dengan lain perkataaan, kerajaan boleh menjatuhkan hukuman kepada seseorang tanpa perlu mengemukakan bukti dan tanpa perlu diadakan perbicaraan.

Kalau itulah yang maksudkan dengan ISA, maka ia jauh menyimpang dari makna keadilan yang digariskan oleh Islam. Sekaligus ia juga merupakan satu kezaliman yang dikenakan terhadap sesaorang itu tanpa memberi hak kepada beliau untuk mebela diri.

Islam telah meletakkan satu prinsip yang cukup jelas. Sabda Nabi dalam satu hadis sahih yang bermaksud: “Kalau sebagai pemerintah, kalau kamu sebagai hakim, jangan kamu jatuhkan sebarang hukuman kepada orang yang datang kepadamu sebelum kamu dengar keterangan daripada kedua belah pihak.”

Iaitu keterangan dari pihak yang mendakwa dan yang kena dakwa. Hak pendakwa ialah pembuktian. Hak yang kena dakwa ialah menafikan dengan menunjukkan bukti sebaliknya.

Itulah yang Islam pakai dan Islam tidak pernah kenal makna ISA. Dalam Islam tidak pernah ada peristiwa hukuman dijatuhkan ke atas yang dituduh tanpa perbicaraan dan tanpa keterangan. Islam tidak menerimanya kerana ianya merupakan satu kezaliman.

ISA juga merupakan satu alat yang boleh digunakan sewenang-wenang kerana ianya tidak boleh persoalkan dan orang yang dituduh mungkin teranaiya kerana fitnah tadi.

Kalau boleh difitnahkan sedemikian kepada orang dan boleh dipercayai fitnah itu kerana tidak ada perbicaraan, maka akan berleluasa kezaliman kepada masyarakat dan mereka itu terpaksa menerimanya atas nama ISA. Atas itulah maka kriteria kesaksian handaklah jelas. Orang yang kena tuduh itu disaksikan kesalahannya diberi peluang untuk membela diri. Jika dia bersalah, dapat dibuktikan kesalahannya. Jika dia benar, maka beliau dapat mempertahankan dirinya.

Islam menyatakan setiap orang yang dituduh itu pada prinsipnya tidak bersalah sehinggalah dibuktikan kesalahannya. Kalau seseorang rakyat boleh dihukum tanpa perlu mengemukakan bukti dan diadakan perbicaraan, maka ia telah menolak prinsip ‘the person itu innocent until proven guilty’.

Prinsip ini adalah prinsip sejagat dan terima pakai oleh negara-negara maju di ceruk dunia mana sekali pun. Dengan menggunakan ISA, bererti kita adalah negara yang paling mundur dalam sistem kehakiman.

Islam tidak menerima konsep undang-undang rimba,iaitu undang-undang yang berdasarkan siapa kuat dia yang benar, siapa yang berkuasa boleh berbuat segala-galanya. Prinsip Islam ialah sesiapa yang melakukan keselahan, dia akan menerima angkubah dari perbuatannya tanpa mengira pangkat atau kedudukan.

Source:http://shalehudin.blogspot.com/2009/07/tiada-isa-dalam-islam.html

Monday, August 24, 2009

hikayat adun lunas

Apa Sebab Adun Lunas Keluar Parti?

MASALAH yang dihadapi Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak habis-habis, parti itu menghadapi masalah bertimpa-timpa. Lepas satu, satu timbul kejadian mengilankan. Apakah PKR diwujudkan untuk menghadapi masalah dan ikut sama menyusahkan orang lain? Barang kali tidak begitu. Tetapi itulah hakikatnya.

Ataupun masalah yang menerpa PKR kerana hebatnya serangan UBN ke atas parti berkenaan. UBN beriya mahu mengocakkan PKR kerana parti itu adalah parti bekas TPM, Anwar Ibrahim. Disebabkan kehebatan Anwar maka PKR yang menjadi sarangnya kini perlu dirobohkan sebelum ianya membiak dan berkuasa.

Jika dilihat kepada kronologi perisitwa politik negara ini selepas pilihan raya umum ke-12 lalu, masalah dalam Pakatan Rakyat berpunca dari masalah dalam PKR. Masalah wakil rakyat atau pemimpin mereka yang tidak mempunyai intergriti dan dijadikan umpan ugutan oleh UBN?

Runtuhnya kerajaan Pakatan Rakyat di Perak awal tahun lalu misalnya disebabkan ulah dan perangai dua Adun dari PKR, Othman Jailu dan Jamaluddin Md Radzi. Mulanya mereka diserkup oleh SPRM. Lepas itu bertindak mengumumkan keluar dari PKR. Bertolak dari bahana kedua-dua wakil rakyat itulah akhirnya membawa kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat.

Kini terbaru ialah Adun Lunas, Kedah, Mohd Radzhi Salleh (foto) pula buat hal dengan mengumumkan keluar dari PKR semalam. Radzhi juga seorang Exco kerajaan Kedah. Apakah peristiwa yang berlaku ke atas dua Adun Perak itu menimpa Adun Lunas ini, diugut dan akan diserkup oleh SPRM?

Jika melihat kepada kedudukan Adun itu tidak ada sebab untuk beliau meninggalkan parti. Tiada tekanan dari dalaman parti terhadapnya. Dan kedudukan sebagai Exco Pelancongan Pembangunan dan Sumber Tenaga Manusia itu juga sudah lumayan buatnya. Kedudukan itu sudah cukup untuk menyara dia dan anak bini setahun dua ini. Apa lagi yang kejar dalam politik kalau bukan kedudukan? Kononnya untuk berjuang demi agama, bangsa dan negara dalam politik hanya gula-gula saja.

Alasan kenapa beliau keluar parti kerana hilang kepercayaan kepada perjuangan PKR nampaknya sebagai alasan saja. Radzhi mencari-cari alasan menghalalkan tindakannya. Katanya dia juga keluar parti setelah pemangku ketua bahagian PKR Padang Serai keluar parti maka beliau kena keluar parti. Sebabnya pemangku ketua bahagian itu berjasa kepadanya.

Ternyata alasan itu dangkal dan naif sekali. Kenapa sekarang perlu menilai perjuangan PKR samada betul atau tidak, kenapa tidak dari mula. Jelas alasan itu sengaja diada-adakan bagi menyembunyikan masalah sebenarnya.

Justeru dalam hal ini apa yang mungkin berlaku ialah Radzhi diugut. Mungkin SPRM sudah pun melingkungi rumahnya. Sekiranya beliau tidak melepaskan diri dari PKR dan menyatakan sokongan kepada 1 Malaysia maka beliau mungkin akan dicekup dan diheret ke mahkamah. Sebab itulah kalau dilihat kepada kenyataan keluar partinya itu Radzi menyatakan sokongan kepada PM? Mengapa sekonyong-konyong menyokong Najib Razak?

Sebelum ini sudah tersebar Adun ini ada masalah dalam kes membuat tuntutan melampau. Mungkin kes tuntutan melampau inilah yang mencengkik lehernya dan terpaksa mencari tali hayat untuk menyelamatkan keadaan dirinya. Bila diri sudah lemas untuk apa dipedulikan kepada nasib orang lain.

Katanya Anwar Ibrahim telah tahu masalah Radzhi ini dan menyerahkan kedudukan Radhzi ini kepada MB, Azizan Abdul Razak? Cuma Azizan masih bersikap tunggu dan lihat dan tidak mengambil tindakan malahan terus merekmen Radzhi menyambungkan kedududunya sebagai Exco. Ertinya masalah Radzhi sudah lama memburuk dalam kerajaan Kedah.

Saya cukup yakin kalau tidak ditekan dan dibelit masalah rumit Radzhi tidak akan meninggalkan PKR. Apa lagi jawatan Exco yang disandang itu tidak mudah untuk diperolehi. Belum tentu kalau dia bersama Umno akan dilantik menjadi Exco. Tetapi mungkin kerana ditekan menyebabkan dia bertindak demikian. Itulah politik dan jahat serta licitnya politik UBN.

Pengumuman yang dibuat Radzhi menjelang hari mengundi pilihan raya kecil Permatang Pasir ini bagaimana dipercayai tidak memberi apa-apa kesan kepada pilihan raya berkenaan. Pengundi Permatang Pasir tidak akan tergugah dengan langkah beliau itu. Malahan pengumuman yang diatur itu dikira memberi kesan baik kepada calon Pas, Mohd Salleh Man. Pengundi yang sudah arif dengan taktik UBN akan jadi lebih berkobar lagi untuk memenangkan Pas sebagai melepaskan perasaan terkilan atas tindakan Radzhi itu.

Dan kalau tindakan Radzhi itu untuk menyelamatkan nyawa politiknya ia juga tidak selamat. Apa kata kalau selepas ini pihak kerajaan Kedah pula akan membuat laporan ke atasnya berhubung apa-apa penyelewengan yang mungkin dilakukannya? Bukankah kes ini boleh disifatkan takutkan ular di depan diterkam harimau di belakang?

Ahli PKR juga tidak perlu walang dan berdukacita atas keputusan Radhzi itu. Sebaliknya ahli PKR perlu rasa gembria kerana orang-orang yang lemah semangat, bermasalah, tidak mempunyai waja dalam perjuangan tidak lagi berada dalam parti mereka.

Anggaplah penghijrahan keluar oleh mana-mana ahli itu sebagai proses untuk menyucikan PKR daripada terbelenggu dengan mereka yang berstatus habuk dan sampah dalam perjuangan. Tidak ada makna dan gunanya kalau kebenaran itu berbelit dengan kebatilan! [wm.kl.6:30 pm 23/08/09]
Posted by mso.im at 6:22:00 PM 9 comments
Labels: Ulasan
Saturday, August 22, 2009