Saturday, September 19, 2009

PERUTUSAN TGNA

Assalamu'alaikum wa Rahmatullah.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih. Firman Allah S.W.T yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu menyempurnakan bilangan puasa (pada Bulan Ramadhan) dan hendaklah kamu bertakbir mengagungkan Allah (apabila berhari raya) kerana Allah berikan hidayah kepada kamu." (Surah Al Baqarah : 185)

Setelah kita berpuasa, bertarawikh, berqiyamullail, bertadarus, bersedekah, berzikir dan sebagainya sepanjang Ramadhan, Allah S.W.T menyuruh kita bertakbir dalam berhari raya. Takbir ialah sebutan Allahu Akbar yang bermaksud "Allah Adalah Yang Terbesar". Manakala yang lainnya adalah yang paling kecil dan mesti dipinggirkan apabila bertembung dengan Kehendak Allah S.W.T.

Malangnya ramai orang yang menyebut Allahu Akbar sebagai satu tradisi sahaja. Inilah masalah besar yang berlaku di kalangan umat Islam sejak kebelakangan ini.

Hari Raya bukanlah tradisi ciptaan orang Arab, bukan juga tradisi ciptaan orang Melayu. Bahkan ia merupakan kehendak agama.

Antara nikmat berhari raya ialah kita boleh makan dan minum setelah sebulan penuh tak boleh makan harta sendiri. Nikmat ini tak dapat dirasai oleh orang yang tidak berpuasa. Orang yang perutnya kenyang sepanjang tahun, tak terasa sedikit pun kemanisan nikmat ini.

Apabila disebut hari raya, buka saja anak kecil bahkan orang tua dan orang sakit pun turut berseronok sama. Islam minta kita bersukaria dengan amalan ziarah dan bermaafan antara satu sama lain. Pada hari raya kita tak dibenarkan berpuasa sekalipun puasa itu sendiri adalah ibadat. Tapi dalam persoalan ibadat, maka kita perlu mengerjakannya, kita tak boleh buat pandai-pandai. Apabila Allah Ta'ala minta kita mengerjakan ibadat, maka kita perlu mengerjakannya mengikut cara dan masa yang telah ditentukan.

Begitu juga dalam kita berhari raya, tak boleh kita buat ikut pandai sendiri. Kita berseronok dalam lingkungan yang dikehendaki oleh Allah. Sebab itu kita tak boleh berhari raya dengan pakaian, pergaulan, makan minum dan hiburan yang terlarang dan berunsur maksiat.

Berapa ramai anak-anak mengalami putus jari tangan, buta mata, muka melecur dan sebagainya akibat bermain mercun tanpa kawalan pada setiap tahun. Berapa ramai pula yang terlibat dengan kemalangan maut pada setiap musim perayaan akibat kelalaian dan tidak memperdulikan peraturan jalanraya sehingga mengorbankan ramai orang yang tidak bersalah.

Apabila hari raya, memang menjadi fitrah manusia suka berseronok. Tapi Islam mengajar kita mengikut peraturan tertentu supaya sambutan hari raya menjadi ibadat yang mendatangkan pahala. Antara jadual berhari raya, kita disunatkan mandi sebelum pergi ke masjid. Kalau kita mandi biasa, tubuh kita saja yang bersih. Tapi apabila kita niat bahawa mandi sunat hari raya, bukan tubuh kita saja yang bersih dan berbau sedap bahkan kita dapat pahala.

Sesetengah orang tak berapa minat sangat nak cari pahala. Apa yang dia minat ialah cari duit dan harta saja. Kepada orang-orang sebegini, dia kena faham bahawa pahala adalah mata wang (currency) yang sangat berguna apabila kita masuk kubur. Apabila kita masuk kubur, kita tidak mati seratus peratus.

Yang mati dan hancur menjadi debu hanyalah jasad kita. Roh dan jasad kita akhirnya akan dibangkitkan kembali di akhirat nanti.

Sebagaimana jasad manusia di dunia ini berkehendak kepada makan minum. Untuk memenuhi keperluan fizikal di dunia ini, kita terpaksa gunakan wang untuk membeli makanan, minuman dan pelbagai keperluan lain.

Tapi apabila saja kita masuk ke dalam kubur, semua jenis mata wang dunia ini tidak laku lagi. Duit Amerika tak laku. Mas jongkong pun tak laku. Yang lakunya ialah pahala.

Pahala adalah aset dan mata wang yang kita sangat perlukan semasa berada di dalam kubur dan di Padang Mahsyar. Salah satu cara untuk kita mendapat pahala selain daripada berpuasa, bertadarus, bertarawikh ialah dengan kita berhari raya menurut cara yang telah ditunjukkan oleh Islam.

Kita diminta membayar zakat fitrah untuk membantu golongan fakir miskin. Tentunya oarng yang tidak berkemampuan tidak ramai. Jadi, apabila semua orang yang berkemampuan membayar zakat fitrah, kita boleh fikir sendiri betapa banyaknya harta yang diberikan kepada fakir miskin yang membolehkan mereka tumpang berseronok sama.

Pada hari raya kita diminta memakai pakaian cantik, seboleh-bolehnya pakaian yang belum dipakai lagi. Kalau pakaian sudah dipakai pun tak apa, asalkan halal dan bersih. Kita tetap juga akan mendapat pahala.

Kita juga diminta membawa anak-anak ke masjid, ke surau, ke musalla untuk bertakbir mengagungkan Allah S.W.T dan seterusnya untuk mengerjakan sembahyang sunat hari raya demi untuk bersyukur di atas hidayah kurniaan Allah kepada kita dan juga untuk bertaqarrub kepada Allah 'Azza Wa Jalla.

Sembahyang sunat Aidilfitri ada bacaannya sepertimana yang dibacakan oleh Rasulullah S.A.W. Dalam sembahyang sunat Aidilfitri, Rasulullah S.A.W membaca Surah Qaaf dalam raka'at yang pertama dan Surah Al Qamar pada raka'at kedua. Kedua-dua Surah ini menyentuh tentang Kiamat.

Ketika umat Islam sedang berseronok, tiba-tiba Nabi kita membacakan Surah yang menceritakan tentang kedahsyatan huru-hara yang pasti akan berlaku pada Hari Kiamat nanti. Sekaligus ia bermaksud bahawa segala nikmat hidup di dunia ini pasti akan disoal dan akan dikenakan pembalasan.

Siapa pun yang hidupnya di dunia ini, apabila selaras dengan kehendak Al Quran akan dimasukkan ke dalam syurga. Apabila tak selaras dengan kehendak Al Quran, baik dalam masalah politik, ekonomi, kebudayaan, pendidikan, rumah tangga dan sebagainya dia akan masuk neraka.

Wednesday, September 16, 2009

MAJLIS RUMAH TERBUKA AIDILFITRI PKR CABANG PARIT

TN.HJ.KAPT(B)USAILI ALIAS DAN PN.HJH KHODIJAH HJ.ALANG ZAHARI
Majlis Pimpinan Pusat
Ketua Cabang Parit

Dengan segala Hormatnya menjemput
_____________________________________________


Ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 1430 Hijrah

Pada
4/Okt/2009 (Sabtu)

Jam
2.00 ptg sampai 5.00ptg

Bertempat di
Perkarangan rumah Tn.Hj.Usaili Kg.Aji Bota Kiri 32600 Bota Perak.

SEMUA DIJEMPUT HADIR BERAMAI-RAMAI

MAJLIS IFTAR RAMADHAN PKR NEGERI PERAK ZON PERAK TENGAH

Pada 16/Sep/2009(RABU) Cabang Parit akan mengadakan majlis iftar ramadhan di Masjid Jamek Bota Kanan.

Atur cara

4.00ptg-6.00 petang - Di rumah Tj.Hj.Kapt(B)Usaili Alias bersama pimpinan PKR Negeri Perak.

7.00mlm-10.00mlm - Berbuka puasa,Magrib,Isha,Tazkirah,Terawih dan sumbangan kepada anak yatim dan orang miskin bertempat di Masjid Jamek Bota Kanan.

SEMUA DIJEMPUT HADIR BERSAMA-SAMA.

Wednesday, September 9, 2009

KHABAR DARI JAKARTA

Jabatan Penuntut Malaysia di Jakarta hari ini menasihati semua pelajar Malaysia di seluruh Indonesia supaya sentiasa berhati-hati memandangkan kebencian segelintir rakyat negara itu yang semakin
memuncak berikutan penyebaran pelbagai fitnah oleh media massanya kebelakangan ini.

Jabatan itu telah menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi menasihati semua pelajar Malaysia di Jakarta khasnya, agar jangan sekali-kali melalui Jalan Diponegoro bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.

Kebencian mereka itu memuncak kepada tahap yang serius dan menakutkan, berikutan media tempatan baru-baru ini menyiarkan berita dan visual lebih 360 sukarelawan ilmu kebal yang dilaporkan sudah mendaftar dan bersedia untuk mengganyang Malaysia.

Kebencian mereka itu memuncak lagi apabila hari ini terdapat sekumpulan orang yang menggelar diri mereka sebagai Benteng Demokrasi Rakyat (BENDERA) mula bertindak liar dengan mengugut rakyat Malaysia dengan buluh runcing di Jalan Diponegoro.

Dilaporkan bahawa 50 anggota BENDERA yang bersenjatakan buluh runcing (buluh yang ditajamkan hujungnya) memaksa orang ramai yang melalui jalan itu menunjukkan tanda pengenalan mereka dan jika kebetulannya orang berkenaan seorang rakyat Malaysia maka orang itu akan terus ditahan.

Tindakan mereka mengambil undang-undang di tangan sendiri dilaporkan media massa online tempatan termasuk detikcom.

Sebelum ini pernah rumah kediaman yang disewa pelajar Malaysia di Universiti Gadjah Mada, Yogyakarta dibaling telur busuk oleh kumpulan yang berdemonstrasi terdiri daripada sekumpulan mahasiswa tempatan kerana marahkan Malaysia yang difitnah sebagai mencuri tarian Pendet yang berasal dari Bali.

Berikutan isu itu yang terus diapi-apikan media massa tempatan dan dikaitkan pula dengan isu-isu lampau yang diungkit semula, beberapa kumpulan rakyat Indonesia juga berdemonstrasi di depan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.

Walaupun penafian telah dibuat bahawa Malaysia tidak pernah "mencuri" tarian itu untuk iklan video klip promosi pelancongan negara yang sebenarnya dibuat sebuah syarikat swasta yang berpejabat di Singapura, namun hakikat itu "jatuh ke telinga yang tuli dan mata yang buta".

Anehnya, sebuah stesen TV yang baru saja menyiarkan program dialog di mana seorang pegawai tinggi Kementerian Luar Indonesia memberikan penjelasan bahawa Malaysia tidak pernah mengakui Pendet sebagai tarian berasal dari Malaysia, namun stesen TV yang sama juga kemudian mengulangi lagi tuduhan yang serupa.

Laman web okezone pula melaporkan bahawa anggota BENDERA ada memeriksa lebih daripada 100 orang.

Bagaimanapun, detikcom melaporkan tiada seorang pun rakyat Malaysia yang kebetulan melalui jalan itu dan tindakan yang dikatakan akan dilakukan selama sejam, berakhir hanya selepas setengah jam.

Saturday, September 5, 2009

ANALISA PERISTIWA

Beranikah Pakatan Rakyat Bakar Mahkamah?

HARI ini negeri Perak kecoh lagi. Wakil rakyat Pakatan Rakyat yang kehilangan negeri kerana dirampas oleh UBN telah cuba memasuki Dewan Undangan Negeri untuk mengadakan persidangan. Bagaimana pun mereka dihalang oleh polis dan FRU yang sudah bersiap sedia sejak dari pagi. Ada beberapa orang wakil rakyat Pakatan sudah ditahan polis.

Rupa-rupanya bukan mudah untuk menenangkan politik di Perak yang sudah berlarutan lapan bulan. Pihak yang tidak berpuas hati terus melakukan aksi asakan dengan berbagai cara. Kuat sungguh Pakatan Rakyat! Mereka juga tidak kering idea bagaimana hendak mengasak kerajaan yang ada kini yang disifatkan sebagai haram.

Kenapa mereka menjadi kuat, kerana mendapat sokongan rakyat! Kalau rakyat tidak bersama mereka, tidak mungkin wakil rakyat dapat melakukan asakan dan protes berpanjangan. Hanya dengan mempunyai ahli seramai 21 orang tidak mungkin mereka dapat mengugat kerajaan Perak dan menimbulkan ketegangan demi ketegangan. Begitukah? Benarkah rakyat mendokong mereka?

Niat mereka hendak bersidang bagaimana pun tidak pernah terhalang. Speaker S Sivakumar telah mengadakan persidangan di sebuah hotel. Kali ini mereka tidak bersidang di bawah pokok lagi (mungkin kerana panas dan bimbang hujan) maka dibuat di hotel. Bagaimanapun persidangan itu sekejap saja kemudian ditangguhkan atas permintaan bekas MB Perak, Mohamad Nizar Jamaluudin.

Bila mengenangkan politik Perak timbul pertanyaan bilakah ianya akan berakhir. Ataupun ia tidak akan berakhir dan menjadi pesta politik sepanjang tahun selagi Dewan Undangan Negeri tidak dibubarkan. Kita percaya selepas ini akan ada aksi potes lain pula. Molek juga kalau kementerian pelancongan memasukkan politik Perak sebagai pesta untuk tarik pelancong.

Polis juga tidak larat untuk menangkap dan menahan mereka lagi. Kalau semua mereka ditahan dan dikurung mungkin wakil rakyat itu akan bersidang dalam tahanan polis. Bagi mereka yang tetap meyakini masih memimpin kerajaan boleh bersidang di mana-mana saja tempat yang mereka suka. Kalau bersidang dalam penjara mereka lagi hebat.

Tindakan wakil rakyat itu tidak boleh dikatakan tidak siuman, sebab mereka ramai. Kalau setakat Sivakumar atau Nizar Jamaluddin saja mungkin boleh dikatakan gila. Tetapi kalau 21 tidak mungkin mereka gila. Yang pentingnya tindakan mereka itu ada yang sokong. Anwar Ibrahim dalam kenyataan akhbarnya hari ini mengatakan tindakan Sivakumar memanggil sidang dewan itu sah! Alasannya kerana Sivakumar dilantik oleh Dewan dan bukan dari lantai Dewan seperti Ganesan, speaker DUN sekarang.

Saya tidak mahu persoal apa-apa di sini. Cuma nak tanya dan nak soal wakil rakyat Pakatan Rakyat berkenaan. Kalau tindakan mereka sah, buatlah apa yang mereka suka. Kalau panggil sidang pun sah, mesyuarat bawah pokok, dalam hotel atau dalam jamban pun sah, apa susah-susah nak cari Dewan lagi. Bersidang sahaja. Tak payah rempuh nak masuk ke DUN.

Buatlah keputusan dalam persidangan itu. Tetapi apakah ada makna segala keputusan itu kalau ianya tidak dapat dilaksanakan? Tidak ada guna juga. Jadi persidangan itu tidak membawa apa-apa pengertian selain daripada kerja orang yang tidak ada kerja saja.

Dan sekiranya sidang DUN yang ada sekarang ini tidak sah dan tidak diikhtiraf kenapa mereka hadir? Saya harap selepas ini kesemua wakil rakyat tidak hadir bila sidang DUN diadakan. Kita mahu tengok apakah selepas mereka tidak hadir dua kali berturut-turut kedudukan mereka sebagai Adun terlucut ataupun tidak.

Di sini pada saya jalan sebaiknya ialah tunggulah dewan dibubarkan dan bertandinglah dalam pilihan raya nanti. Tidak payahlah membuat berbagai asakan yang semuanya itu menyusah dan menyerabutkan rakyat saja. Jadilah wakil rakyat yang gentlemen.

Bukankah kerajaan yang ada kini adalah sah mengikut keputusan mahkamah? Zambry Kadir duduk disitu atas kehendak mahkamah dan perkenan sultan. Sekiranya Pakatan merasakan mahkamah tidak adil dan sudah mengkhianti mereka, bakar sahajalah mahkamah, apa tunggu lagi.

Beranikah Pakatan Rakyat hendak bakar mahkamah?

Dalam memerhati telatah tindak tanduk Pakatan di Perak ini saya bimbang takut rakyat jadi muak. Bila rakyat sudah muak menyebabkan rakyat akan hilang sokongan. Makanya kalau nak buat tindakan politik, gimik politik pun berpadan patutlah. Tegasnya kalau rakyat benar-benar menyokong kita sudah tentu rakyat ikut sama menumbangkan kerajaan Zambry kini? Soalnya kenapa rakyat Perak diam dan hanya sebahagian saja yang menyokong! [wm. kl 3:20 pm 02/09/09]
Posted by mso.im at 3:17:00 PM