Saturday, October 24, 2009

Sudah bersedia ke PR hadapi pilihanraya?

Parit Buntar - Tahniah diucapkan kepada Pemuda Pakatan Rakyat Negeri Perak yang akan melancarkan Sekretariat Pemudanya 24 Oktober ini di Lumut. Sepanjang hampir setahun BN merampas kuasa dari PR, banyak perkara yang telah dilakukan oleh PR bagi meyakinkan rakyat bahawa, penyalahgunaan kuasa oleh BN ini perlu diserahkan kepada rakyat untuk dibuat pemilihan semula.

Setiap hari, sepanjang masa kita menuntut agar pembubaran ini dilaksanakan namun ia kelihatan masih jauh. Namun seandainya November atau terdekat ini DUN Perak dibubarkan adakah kita bersedia menghadapi cabaran tersebut. Harus diingat sepanjang tempoh setahun ini jangan disangka BN hanya berlapang dada menerima sikap buruk mereka merampas kuasa, akan tetapi secara senyap-senyap mereka bekerja untuk menambat kembali hati rakyat agar memberi undi kepada mereka.

Tidak dapat dipastikan sama ada benar, jumlah pengundi baru didaftarkan melalui UMNO/BN pada suku tahun ketiga menjangkau hampir 35 ribu termasuk pindah pengundi. Kalau ia benar adakah kawasan-kawasan yang PR menang kecil (bawah 1000 undi) bersedia hadapi pengundi baru yang tidak kita jejaki. Ada menyatakan 7000 pengundi baru bakal disumbat di Larut. Manakan tidak, BN hanya menang tipis di Kubu Gajah (66 undi) dan Selama (355).

Bagaimana dengan kawasan lain PR menang tidak lebih 1000. Contoh di Kuala Kurau, Lubuk Merbau, Kuala Sepetang, Changkat Jong dan Teja. Sudahkah kita periksa pengundi baru di kawasan kita? Kalau ada lebih 1000 yang bukan didaftar oleh kita tetapi BN, kita perlu berhati-hati dalam situasi ini.

Bagaimana pula prestasi ADUN-ADUN PR kita dengan masyarakat. Baguskah servis kita? Adakah perkhidmatan kita di DUN boleh meyakinkan rakyat terus mengundi kita. Isu ada segelintir tak puas hati itu perkara biasa. Akan tetapi jika ada pengundi lepas yang menyokong kita tetapi dinafikan servis baik terhadap mereka boleh kekalkah undi mereka terhadap kita? Jangan perasan kalau ada dua atau tiga pengundi kita yang memuji dan rasa bangga akan sokongan tersebut tetapi sebaliknya ada dua atau tiga ratus dibelakang yang menyumpah kita.

Harus diingat juga, tidak dinafikan kebanyakan DUN PR calon Melayu menang dikawasan lebih 30% pengundi Cina dan India. Adakah kita benar-benar beri servis terbaik kepada Non Muslim ini. Pengundi Cina dan India juga merupakan pengundi yang bijak dan mereka dari semasa ke semasa melihat prestasi ADUN kita. Jangan banyak berjanji dengan mereka, kelak mereka tuntut janji.

Kini pada atas kertasnya, PR mesti menang dahulu kesemua 28 DUN yang dimenangi. Ucapan pemimpin PR terdahulu bahawa sekiranya diadakan Pilihanraya Perak sekali lagi, 45 DUN dijangka dimenangi PR tidak boleh diguna lagi. Kukuhkan 28 DUN menang dahulu, dan dalam masa yang sama kita perkasakan juga DUN kalah.

Dalam masa yang sama persiapkan jentera parti di DUN masing-masing, Bilik Gerakan sudah berfungsi, Pengundi baru pro kita ditambah, Pemuda terus didekati bagi menjamin kemenangan seperti yang diharapkan. Servis di DUN kita dilipatgandakan. Usah banyak bicara sebaliknya banyak bekerja.

Pujian diberi juga kepada Saf Kepimpinan Baru DPP Perak yang banyak melaksanakan program menawan hati pemuda. Justeru walau apapun penambahan undi muda amat diperlukan, kerana undi itulah penentu untuk kita memerintah kembali. Antara lainnya dicadangkan juga 60% calon PAS untuk Pilihanraya Umum ke 13 yang akan datang adalah dari kalangan pemuda. Tubuhkan Sekretariat Wakil Rakyat Muda supaya pelapis ini bersedia dicalonkan sebagai calon pilihanraya.

Akhirnya selamat berjaya kepada Pemuda PAS Perak atas pelancaran Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat dan terus maju jaya.
(Penulis adalah Ketua Penerangan Pemuda PAS Parit Buntar)

Di Hantar Pemuda pada 6:51 AM

No comments:

Post a Comment